Tuesday, 25 November 2014

Masin Mulut



Dulu cikgu aku pernah bagitahu yang cita-cita pertama kita tu lah yang akan menjadi kenyataan.

Aku memberontak apabila dengar apa yang cikgu aku cakap waktu itu. Ketika itu, seingat aku, aku berada di Darjah 6. Cita-cita aku ketika itu sudah berubah untuk menjadi seorang saintis. Kononnya… tetapi yang menjadi impian dan cita-cita pertama aku adalah untuk menjadi seorang guru.

Aku suka melihat guru-guru pergi sekolah dengan pakaian yang cantik, kasut bertumit, dan handbag yang cantik. Aku suka lihat mereka berjalan, mereka bercakap dan kejujuran serta semangat dalam menyampaikan ilmu. Itu yang membuatkan aku bercita-cita untuk menjadi seorang guru.
Cita-cita aku berubah. Aku ingin menjadi seorang saintis sebabnya bunyi perkataan saintis tu sedap didengar dan nampak hebat sahaja. Dan apabila masuk ke Tingkatan Satu, aku mula mencari minat 
aku yang sebenar.

Dengan sifat aku yang agak pemalas ditambah dengan pemalu tidak memungkinkan aku untuk menjadi seorang saintis. Cita-cita aku berubah lagi ketika itu. Aku bercita-cita untuk menjadi seorang jururawat pula. Kononnya bila jadi juruwat kebarangkalian untuk bertemu jodoh dengan doktor amat tinggi. Melawak sahaja. Waktu itu aku belum matang. Ramai sahabat-sahabat aku berkata kerjaya sebagai seorang jururawat amat sesuai dengan aku yang agak lembut tutur kata dan perlahan pergerakan. Tetapi masalahnya aku seorang yang penakut. Takut dengan jarum, takut melihat luka.

Ya, aku takut melihat luka walaupun luka tersebut sekecil alam. Aku akan bersama-sama merasai kesakitannya. Ketika di Tingkatan Empat aku mula untuk mencari cita-cita yang sebenar. Apabila ditanya rakan-rakan tentang cita-cita, terus aku menjawab cita-cita aku ialah untuk menjadi doktor gigi. Kata mereka untuk menjadi doktor gigi mudah nak dibandingkan dengan doktor perubatan biasa kerana doktor gigi hanya menyentuh dibahagian gigi dan muka sahaja. Siapa cakap yang belajar dentist itu mudah? Yang minat sahaja akan kata mudah.

Apabila di Tingkatan Lima, aku cuba untuk mencari cita-cita sebanya aku masih belum bertemu dengan cita-cita yang sesuai dengan aku. Kerana aku seorang yang malas menbaca. Boleh lihat aku pegang buku hanya pada waktu peperiksaan. Kalau bukan untuk peperiksaan maka duduk diam-diamlah buku itu dalam almari buku.

Aku mula minat dengan matapelajaran fizik. Dan aku kira pekerjaan yang sesuai dengan minat aku ialah menjadi seorang jurutera. Aku benar-benar minat  dengan metapelajaran ini sehingga apabila aku dapat tahu Cikgu Ayu akan pindah aku menangis teresak-esak hadapan Cikgu Ayu. Walhal aku tidak rapat dengan Cikgu Ayu. Cikgu Ayu dahulu ialah cikgu fizik yang paling aku sayang. Dulunya dia seorang jurutera. Namun apabila dia merasakan kerjaya tersebut bakal mencuri masanya bersama-sama keluarga, dia bertindak untuk mengambil Kursus Lepasan Ijazah (KPLI) untuk melayakkannya untuk menjadi seorang guru. Sekarang Cikgu Ayu merupakan pensyarah di Kolej Matrikulasi Teknikal di Pendang, Kedah.

Cikgu Ayu pernah berpesan, jika hati tidak kental, jangan jadi jurutera. Cikgu Ayu lembut orangnya. Dengan kelembutan Cikgu Ayu, membuatkan aku menjadikan Cikgu Ayu sebagai inspirasi untuk menjadi seorang jurutera. Tetapi dia juga pernah berpesan kalau boleh perempuan jangan jadi jurutera. Ya, memang seronok bila sudah ada pangkat sebagai jurutera tetapi apabila sudah berkahwin nanti, kerjaya tersebut sememangnya akan mencuri masa. Kerjaya jurutera tidak memungkin kita untuk melihat keindahan siang. Masakan tidak, pergi kerja sebelum matahari terbit, pulang setelah matahari terbenam.

Tetapi aku tetap mahu menjadi seorang jurutera. Aku sempat meminta nasihat daripada kakak-kakak senior. Ada yang kata aku beruntung kerana ada cita-cita untuk menjadi jurutera kerana kerjaya tersebut untuk yang berjiwa kental. Ada juga cuba untuk menakut-nakutkan aku apabila mengatakan kerjaya jurutera langsung tidak sesuai dengan aku yang lembut dan pemalu.

Selepas SPM, aku mengambil keputusan untuk ke Matrikulasi dan ketika di Matrikulasi aku memilih Modul Dua iaitu modul yang tidak ada subjek yang paling aku anti iaitu Biologi.
Tetapi apabila ditanya pensyarah disini tentang cita-cita, aku sekali lagi gagal untuk menjawab cita-cita yang benar-benar kena dengan hati. Apa yang aku jawab bukan jurutera tetapi ‘Cikgu Matematik’. Aku juga megharapkan aku bakal lulus temuduga maktab yang memungkinkan aku untuk menjadi seorang guru Matematik.

Ketika di matrikulasi jujur aku kata, aku belajar sambil lewa, sebab aku yakin yang aku bakal ditawarkan ke Institut Pendidikan Guru. Namun, aku gagal dan dengan hati yang berat aku “Berjaya” menghabiskan setahun pengajian di matrikulasi dengan pointer yang tidak seberapa (3.35).(tidak bersyukur)

Aku cuba mencari jalan untuk menjadi seorang guru untuk mencapai cita-cita yang aku rasa lahirnya dari hati. Aku sekali lagi menghadiri temuduga maktab untuk memungkinkan aku menjadi seorang guu Pendidikan Pemulihan tanpa pengetahuan rakan-rakan pada mulanya. Menjadi guru pemulihan memungkinkan aku mengajar subjek matematik.

Dan Alhamdulillah, Tuhan itu Maha Adil dan Maha Kaya. Dengan pointer 3.35, aku yakin aku tidak akan dapat ke universiti dengan kos pendidikan. Namun, aku Berjaya ke Institut Pendidikan Guru pada panggilan kedua. Syukur Ya Allah.

Dan kesimpulannya, aku nak beritahu bahawa mulut cikgu matematik aku memang masin betul. Cita-cita pertama adalah cita-cita yang akan menjadi kenyataan. Hebat aturan Allah. InsyAllah jika diizinkan Allah aku bakal menjadi seorang guru.

No comments:

Post a Comment